Perutusan Khas Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Sempena Ramadan Al-Mubarak 2025/1446 Hijrah
Assalamualaikum WBT.
Salam sejahtera kepada semua warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang saya hormati dan kasihi.
Alhamdulillah syukur kehadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, hari ini saya menjadi sebahagian daripada keluarga besar UMPSA sejak dilantik sebagai Naib Canselor pada 13 Januari 2025 lalu. Ini merupakan satu penghormatan besar buat saya apabila diberi peluang menggalas amanah sebagai pemimpin universiti yang cemerlang ini. Segala amanah dan kepercayaan yang telah diberikan ini akan saya laksanakan dengan penuh tanggungjawab serta komitmen sebaiknya bersama-sama warga UMPSA.
Alhamdulillah dalam tempoh 46 hari memimpin universiti yang cemerlang ini, saya telah berpeluang berinteraksi dengan pelbagai pihak, termasuk Lembaga Pengarah Universiti, pengurusan utama, barisan dekan, persatuan dan ahli akademik, persatuan pentadbir dan sokongan, kepimpinan pelajar, pesara, alumni serta rakan strategik lain termasuk kerajaan negeri Pahang. Saya mendengar aspirasi dan harapan daripada warga UMPSA untuk melihat universiti ini terus berkembang dan mencapai kecemerlangan. Saya juga amat menghargai komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh semua warga UMPSA dalam menjayakan misi dan visi universiti.
Saya juga telah mengamati dan diberikan taklimat berkenaan asas dan kejayaan UMPSA sepanjang lebih dua dasawarsa lalu. Saya sangat berterima kasih kepada kepimpinan UMPSA terdahulu yang telah memperkukuh asas universiti ini dan natijahnya UMPSA telah berjaya mencapai pelbagai kecemerlangan serta pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa malah terus kekal unggul sebagai universiti teknikal terbaik dalam kalangan Malaysia Technical University Network (MTUN).
Saya ingin menyampaikan keterujaan saya untuk sama-sama menggembleng tenaga bersama pihak pengurusan universiti dan seluruh warga UMPSA menerusi pelbagai agenda strategik yang telah dirancang di peringkat universiti. Malahan, saya yakin dan percaya bahawa UMPSA mempunyai ruang dan peluang yang besar untuk kita terus berdaya saing dan bergerak ke hadapan sesuai dengan arus perubahan dunia pendidikan pada masa ini dan akan datang.
Justeru, saya ingin melihat setiap warga UMPSA memperkasa kualiti kerja dan kemahiran melalui pembudayaan kerja yang berfokuskan Skills, Perfect, Impact, Resilience, Optimise dan Sustainable. Dengan singkatan SPIROS iaitu Kemahiran (Skills), Kesempurnaan (Perfect), Impak (Impact), Daya Tahan (Resilience), Pengoptimuman (Optimise) dan Kelestarian (Sustainable), pendekatan yang seimbang dan menyeluruh ini berpotensi menjadikan UMPSA lebih cemerlang dan berdaya saing.
Setiap warga mesti berupaya untuk melaksanakan tanggungjawab berasaskan kemahiran dan bidang masing-masing yang diperkasakan oleh teknologi. Proses kerja haruslah menitikberatkan tatakelola dan integriti bagi mengurangkan kesalahan atau pembaziran. Maka, hasil dan kualiti kerja perlulah memberi impak dan manfaat kepada universiti serta sejajar keperluan kerajaan, industri dan masyarakat.
Selain itu juga, warga UMPSA haruslah memastikan segala inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan serta turut memiliki daya tahan dan ketangkasan bagi menghadapi tekanan dan cabaran akan datang serta berpegang kepada prinsip penambahbaikan berterusan, penggunaan sumber yang lestari dan optimum. Penguasaan semua elemen ini mampu memandu kita menghadapi cabaran masa kini dan membina masa depan yang lebih baik, bersedia serta bertanggungjawab.
Kita juga sedia maklum bahawa UMPSA merupakan universiti berstatus pembangunan dengan kadar 43 peratus kemajuan pembangunan fizikal sehingga kini. Justeru, kita kini sedang meningkatkan infrastruktur dan memperkukuh persekitaran yang kondusif dengan melengkapkan fasiliti pelajar, pembelajaran dan asrama tanpa mengabaikan aspek kebajikan staf serta pelajar.
Warga UMPSA yang saya kasihi,
Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadan kepada seluruh warga UMPSA yang beragama Islam. Bulan yang dinanti-nantikan, bukan sekadar berpuasa tetapi bulan yang penuh dengan rahmat, keampunan dan keberkatan. Kepada warga UMPSA marilah kita bersama-sama menyambut Ramadan dengan penuh syukur, keinsafan dan kesederhanaan. Jadikan bulan Ramadan ini untuk kita meningkatkan ibadah, memperkukuh silaturahim dan meningkatkan kualiti kerja. Ramadan bukan alasan mengurangkan produktiviti malah motivasi untuk bekerja kerana setiap amalan baik di bulan ini akan digandakan pahalanya.
Akhir tinta, saya sentiasa mendoakan kesejahteraan warga UMPSA dan mudahan Allah SWT satukan hati-hati kita untuk melihat matlamat yang sama dan berusaha ke arah kecemerlangan secara semangat kerja berpasukan demi merealisasikan visi UMPSA menjadi Universiti Teknologi Terunggul akan tercapai. Insya-Allah.
Sekian, Wabillahi Taufak Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Profesor Dr. Yatimah Alias
Naib Canselor
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
28 Februari 2025 bersamaan 29 Syaaban 1446 Hijrah